Kuala Kangsar: PAS tidak akan menyokong perjuangan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, sebaliknya kekal dengan perjuangan parti itu untuk mengubah kerajaan.

Naib Presidennya Idris Ahmad berkata, kehadiran bekas Perdana Menteri itu berceramah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar di dua lokasi semalam, memberi kelebihan kepada PAS, bukannya Parti Amanah Negara (PAN).

Beliau berkata, kelebihan itu dilihat dari segi pengundi Melayu yang tidak berpuas hati dengan PAN dan UMNO, sekali gus memberikan undi kepada PAS yang lebih jelas perjuangannya.

“Perjuangan kita jelas iaitu mengubah kerajaan dan bukannya mengubah individu, kalau dia (Mahathir) nak berjuang untuk mengubah individu, itu haknya tapi kita tetap dengan perjuangan kita.

“PAS lebih selesa bergerak sendiri dan yakin dengan jentera yang dimiliki untuk membantu dan menyampaikan maklumat kepada rakyat,” katanya pada sidang media di Markas Induk PAS di sini, semalam.

Menurutnya, PAS juga pelik dengan tindakan Pakatan Harapan yang tidak henti-henti menyerang parti itu sedangkan PAS masih berdiri sebagai sebuah parti pembangkang.

Katanya, tindakan Pakatan Harapan menyerang PAS dengan dakwaan kononnya berada satu rakit bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN) hanya merugikan pembangkang dan menguntungkan BN.

Artikel ini disiarkan pada :
Isnin, 13 Jun 2016 @ 7:31 AM