KUALA KANGSAR: Seramai 312 pemilih berdaftar terdiri daripada anggota polis layak menunaikan tanggungjawab mereka pada pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, hari ini.

Proses pengundian awal itu diadakan di dua pusat pengundian iaitu di Dewan Tun Salleh Ismael, Kompleks Perumahan Polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar dan Bilik Mesyuarat Balai Polis Manong.

Pusat pengundian awal di Dewan Tun Salleh akan dibuka pukul 8 pagi hingga 5 petang di mana seramai 292 pemilih layak mengundi.

Sementara itu, di pusat pengundian awal di Bilik Mesyuarat Balai Polis Manong pula dibuka 8 pagi hingga 2 petang, seramai 20 pemilih layak mengundi.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, proses pengundian awal dijalankan mengikut kaedah pengundian biasa dengan dikendalikan petugas SPR dan dakwat pilihan raya digunakan dalam proses tersebut.

Proses pengundian awal hari ini juga disaksikan oleh ejen-ejen calon yang bertanding di bahagian pilihan raya berkenaan.

Di samping itu, Pemerhati Tempatan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik oleh SPR juga boleh memerhati proses tersebut dengan kebenaran masuk ke pusat-pusat pengundian oleh Polis Diraja Malaysia.

Kertas-kertas undi akan disimpan di lokap-lokap polis dan hanya akan dikira pada 18 Jun ini.

PRK itu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Barisan Nasional, PAS, Amanah dan Bebas.

Seramai 32,949 orang layak mengundi (termasuk 312 pengundi awal dan lima pengundi tidak hadir) padaPRK itu mengikut daftar pemilih yang didaftarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga 7 Mei lepas.

Pengundian PRK itu berlangsung 18 Jun

http://www.astroawani.com/berita-politik/undi-awal-prk-kuala-kangsar-bermula-108072