KUALA KANGSAR
- "Saya akan mengundi untuk menyokong pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta 355 yang bertujuan untuk memperkasakan Mahkamah Syariah di Malaysia,".

Demikian janji calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad sekiranya beliau diberi amanah oleh pengundi Kuala Kangsar untuk mewakili mereka di Parlimen.

Beliau berkata, sokongan itu adalah berasakan kepada kewajipannya sebagai seorang Muslimah di samping menunaikan hasrat lebih 80 peratus pengundi Melayu di sini yang mahu pemerkasaan dilakukan terhadap perlaksanaan syariah di Malaysia.

"Sebagai seorang Muslimah, saya berkewajipan untuk menyokong usaha untuk memperkasakan perlaksanaan syariah di Malaysia selaras dengan tuntutan al-Quran dan al-Sunnah.

"Saya juga menjunjung titah perintah Yang Dipertuan Agung, yang telah bertitah semasa majlis pembukaan penggal Parlimen ke-3 supaya usaha berterusan dilakukan untuk memperkasakan Mahkamah Syariah," katanya pada sidang media di markas Pas di sini, hari ini.

Beliau berkata, usul yang dilakukan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen baru-baru ini adalah salah satu langkah ke arah pemerkasaan tersebut.

"Saya percaya, saya berkongsi cita-cita yang sama dengan sebahagian besar pengundi-pengundi Melayu di parlimen ini yang mahukan Islam di negara ini diberi hak untuk mengamalkan dan melaksanakan tuntutan syariah Islam yang sempurna," katanya.

http://www.sinarharian.com.my/politik/calon-pas-ikrar-sokong-pindaan-ruu-1.532973