PORT DICKSON: Pakatan Harapan (PH) tidak mempunyai isu untuk dibangkitkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson sehingga menimbulkan kembali isu lama yang mendakwa PAS menerima RM2.5 juta daripada Umno.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, isu itu adalah isu lama yang dibangkitkan kembali untuk menunjukkan PAS sebuah parti yang tidak berintegriti.

Katanya, isu sebegini sentiasa dibangkitkan oleh pihak lawan setiap kali pilihan raya diadakan.

Tambahnya, pada pilihan raya sebelum ini mereka mendakwa PAS menerima RM90 juta dan kali ini dibangkit kembali isu PAS terima RM2.5 juta.

Menurutnya, kerajaan PH sekarang mempunyai kuasa untuk membuat siasatan jika betul PAS menerima RM90 juta atau RM2.5 juta seperti yang diperkatakan kerana semua kuasa berada di bawah kerajaan sekarang.

Tegasnya, pemimpin PH bercakap seperti tidak tahu yang mereka mempunyai kuasa dan seolah-olah masih sebagai pembangkang.

Ini, ujarnya semua lebih kepada membentuk persepsi buruk terhadap PAS memandangkan PRK Port Dickson bakal berlangsung esok.

Tambah beliau, kalau betul mahu bercakap soal perbelanjaan dan integriti, perlu juga disiasat bahan-bahan kempen PH seperti penggunaan bas, di mana tempat menginap dan sebagainya.

"Kena semak betul-betul kalau nak cakap soal perbelanjaan ada integriti. Kita boleh tengok benda itu melalui siasatan. Kita tidak mahu tuduh tapi mereka (SPR) kena siasatlah,” katanya.

Beliau juga selaku Timbalan Pengarah Jawatankuasa Induk PAS PRK Port Dickson berkata, PAS hanya menerima sumbangan daripada orang ramai melalui sebaran umum untuk memohon sumbangan bagi menampung segala kos selain sumbangan daripada PAS negeri-negeri.

Turut hadir sama pada sidang media iaitu Pengarah Jawatankuasa Induk PAS PRK Port Dickson, Dato' Iskandar Abdul Samad, Setiausaha Agung PAS, Dato' Takiyuddin Hassan, calon PAS PRK Port Dickson, Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar. – HARAKADAILY 12/10/2018