PORT DICKSON: Kaji selidik Ilham Center yang mendakwa PAS akan hilang deposit bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson (PRK PD) adalah kajian mengarut dan tidak boleh dipercayai.

Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad berkata, Ilham Center dikepalai pengkaji yang cenderung kepada kerajaan Pakatan Harapan malah keputusan yang diperolehi sudah tentu berat sebelah.

"Ilham Center ini kalau orang tanya dia siapa pun orang tidak kenal dia. Kredibiliti dia, kita kenal siapa di belakangnya, dia tidak boleh menjadi seorang pengkaji kerana keputusannya selalu buyers (berat sebelah).

“Kita kenal orang di belakangnya siapa, favor kepada Pakatan Harapan dan mereka merupakan aktivis kepada Pakatan Harapan. Kajian mereka ini tidak boleh dijadikan sebagai indicator dalam penyelidikan ini," katanya kepada Harakahdaily ketika ditemui mengiringi calon PAS, Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar di Sekolah Kebangsaan Telok Kemang, di sini hari ini.

Ulasnya lagi, banyak kajian yang cenderung mahu melihat PAS kalah dalam mana-mana pilihan raya sebagai contoh, kajian Invoke yang dikepalai oleh Rafizi Ramli.

"Invoke di bawah Rafizi sebelum ini juga mendakwa PAS kononnya hanya dapat kosong kerusi dalam Pililhan Raya Umum ke-14, tapi apa yang berlaku kita dapat 18 kerusi parlimen 90 kerusi Dewan Undangan Negeri," katanya.

Justeru itu, beliau berharap rakyat tidak terpedaya dengan kajian yang berat sebelah dibuat oleh individu yang tidak miliki disiplin penyelidikan.

"Saya kenal siapa di belakangnya dan tidak berminat kepada saya untuk membaca yang pada saya tidak ada disiplin penyelidikan dan orang macam ini tidak layak untuk menjadi sebagai research centre, saya lebih favor kepada Merdeka Centre yang agak objektif dalam kajian yang dibuat.

"Jadi kita tak payah berpegang dan mempercayai kajian daripada Ilham Center," tambahnya.

Tinjauan Ilham Center yang menggunakan kaedah secara rawak ke atas 817 responden di Port Dickson pada 11 Oktober lalu mendapati calon Pakatan Harapan Dato' Seri Anwar Ibrahim menang besar dalam PRK PD, malah calon Bebas, Tan Sri Isa Samad merupakan pencabar terdekat Anwar manakala PAS kononnya mungkin kehilangan deposit. – HARAKAHDAILY 13/10/2018

c8