Warning: file_put_contents(/home/pilihanraya/public_html/plugins/system/yt/includes/libs/minify/config.php): failed to open stream: Permission denied in /home/pilihanraya/public_html/libraries/joomla/filesystem/file.php on line 431
Pengundi Kuala Kangsar Tunai Kewajipan Hari Ini

KUALA KANGSAR, 18 Jun- Pengundi Kuala Kangsar menunaikan tanggungjawab mereka hari ini dengan membuang undi bagi memilih calon mewakili mereke ke Parlimen.

Pilihanraya Kecil (PRK) P067 Kuala Kangsar berlangsung ekoran kembalinya penyandang kerusi ini, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, ke rahmatullah dalam nahas helikopter di Sarawak Mei lalu.

Walaupun menempuhi PRK dalam bulan puasa, ia tidak menghalang para pengundi yang beragama Islam untuk turun awal.

Sebanyak 69 saluran mengundi di 23 pusat undi telah dibuka seawal 8 pagi lagi bagi menerima kehadiran warga tempatan yang mahu membuang undi.

Cuaca baik dan berawan hari ini membantu pergerakan para pemilih ditambah pula keceriaan para petugas mewarnai jalan sekitar Kuala Kangsar bagi merayu undi buat kali terakhir.

Setakat jam 10 pagi tadi, sekitar 24% pemilih telah melaksanakan tanggungjawab mereka.

 

32,632 orang pemilih berdaftar layak mengundi hari ini dengan 312 orang daripadanya adalah pengundi awal serta lima lagi pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.